Nabi Muhammad S.A.W
Pada waktu umat manusia dalam kegelapan dan suasana
jahiliyyah, lahirlah seorang bayi pada 12 Rabiul Awal tahun Gajah di Makkah.
Bayi yang dilahirkan bakal membawa perubahan besar bagi sejarah peradaban
manusia. Bapa bayi tersebut bernama Abdullah bin Abdul Mutallib yang telah
wafat sebelum baginda dilahirkan iaitu sewaktu baginda 7 bulan dalam kandungan
ibu. Ibunya bernama Aminah binti Wahab. Kehadiran bayi itu disambut dengan
penuh kasih sayang dan dibawa ke ka'abah, kemudian diberikan nama Muhammad,
nama yang belum pernah wujud sebelumnya.
Selepas itu Muhammad disusukan selama beberapa hari oleh
Thuwaiba, budak suruhan Abu Lahab sementara menunggu kedatangan wanita dari
Banu Sa'ad. Adat menyusukan bayi sudah menjadi kebiasaan bagi bangsawan-bangsawan
Arab di Makkah. Akhir tiba juga wanita dari Banu Sa'ad yang bernama Halimah bin
Abi-Dhuaib yang pada mulanya tidak mahu menerima baginda kerana Muhammad
seorang anak yatim. Namun begitu, Halimah membawa pulang juga Muhammad ke
pedalaman dengan harapan Tuhan akan memberkati keluarganya. Sejak diambilnya
Muhammad sebagai anak susuan, kambing ternakan dan susu kambing-kambing
tersebut semakin bertambah. Baginda telah tinggal selama 2 tahun di Sahara dan
sesudah itu Halimah membawa baginda kembali kepada Aminah dan membawa pulang
semula ke pedalaman.
Kisah Dua Malaikat dan Pembedahan Dada Muhammad
Pada usia dua tahun, baginda didatangi oleh dua orang
malaikat yang muncul sebagai lelaki yang berpakaian putih. Mereka
bertanggungjawab untuk membedah Muhammad. Pada ketika itu, Halimah dan suaminya
tidak menyedari akan kejadian tersebut. Hanya anak mereka yang sebaya
menyaksikan kedatangan kedua malaikat tersebut lalu mengkhabarkan kepada
Halimah. Halimah lantas memeriksa keadaan Muhammad, namun tiada kesan yang aneh
ditemui.
Muhammad tinggal di pedalaman bersama keluarga Halimah
selama lima tahun. Selama itu baginda mendapat kasih sayang, kebebasan jiwa dan
penjagaan yang baik daripada Halimah dan keluarganya. Selepas itu baginda
dibawa pulang kepada datuknya Abdul Mutallib di Makkah.
Datuk baginda, Abdul Mutallib amat menyayangi baginda.
Ketika Aminah membawa anaknya itu ke Madinah untuk bertemu dengan
saudara-maranya, mereka ditemani oleh Umm Aiman, budak suruhan perempuan yang
ditinggalkan oleh bapa baginda. Baginda ditunjukkan tempat wafatnya Abdullah
serta tempat dia dikuburkan.
Sesudah sebulan mereka berada di Madinah, Aminah pun bersiap
sedia untuk pulang semula ke Makkah. Dia dan rombongannya kembali ke Makkah
menaiki dua ekor unta yang memang dibawa dari Makkah semasa mereka datang
dahulu. Namun begitu, ketika mereka sampai di Abwa, ibunya pula jatuh sakit dan
akhirnya meninggal dunia lalu dikuburkan di situ juga.
Muhammad dibawa pulang ke Makkah oleh Umm Aiman dengan
perasaan yang sangat sedih. Maka jadilah Muhammad sebagai seorang anak yatim
piatu. Tinggallah baginda dengan datuk yang dicintainya dan bapa-bapa
saudaranya.
"Bukankah Dia mendapatimu sebagai seorang yatim, lalu
Dia melindungimu. Dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang bingung lalu Dia
memberikan petunjuk" (Surah Ad-Dhuha, 93: 6-7)
Abdul Mutallib Wafat
Kegembiraannya bersama datuk baginda tidak bertahan lama.
Ketika baginda berusia lapan tahun, datuk baginda pula meninggal dunia.
Kematian Abdul Mutallib menjadi satu kehilangan besar buat Bani Hashim. Dia
mempunyai keteguhan hati, berwibawa, pandangan yang bernas, terhormat dan
berpengaruh dikalangan orang Arab. Dia selalu menyediakan makanan dan minuman
kepada para tetamu yang berziarah dan membantu penduduk Makkah yang dalam
kesusahan.
Muhammad diasuh oleh Abu Talib
Selepas kewafatan datuk baginda, Abu Talib mengambil alih
tugas bapanya untuk menjaga anak saudaranya Muhammad. Walaupun Abu Talib kurang
mampu berbanding saudaranya yang lain, namun dia mempunyai perasaan yang paling
halus dan terhormat di kalangan orang-orang Quraisy.Abu Talib menyayangi
Muhammad seperti dia menyayangi anak-anaknya sendiri. Dia juga tertarik dengan
budi pekerti Muhammad yang mulia.
Pada suatu hari, ketika mereka berkunjung ke Syam untuk
berdagang sewaktu Muhammad berusia 12 tahun, mereka bertemu dengan seorang
rahib Kristian yang telah dapat melihat tanda-tanda kenabian pada baginda. Lalu
rahib tersebut menasihati Abu Talib supaya tidak pergi jauh ke daerah Syam
kerana dikhuatiri orang-orang Yahudi akan menyakiti baginda sekiranya diketahui
tanda-tanda tersebut. Abu Talib mengikut nasihat rahib tersebut dan dia tidaak
banyak membawa harta dari perjalanan tersebut. Dia pulang segera ke Makkah dan
mengasuh anak-anaknya yang ramai. Muhammad juga telah menjadi sebahagian dari
keluarganya. Baginda mengikut mereka ke pekan-pekan yang berdekatan dan
mendengar sajak-sajak oleh penyair-penyair terkenal dan pidato-pidato oleh
penduduk Yahudi yang anti Arab.
Baginda juga diberi tugas sebagai pengembala kambing.
Baginda mengembala kambing keluarganya dan kambing penduduk Makkah. Baginda
selalu berfikir dan merenung tentang kejadian alam semasa menjalankan tugasnya.
Oleh sebab itu baginda jauh dari segala pemikiran manusia nafsu manusia
duniawi. Baginda terhindar daripada perbuatan yang sia-sia, sesuai dengan
gelaran yang diberikan iaitu "Al-Amin".
Selepas baginda mula meningkat dewasa, baginda disuruh oleh
bapa saudaranya untuk membawa barang dagangan Khadijah binti Khuwailid, seorang
peniaga yang kaya dan dihormati. Baginda melaksanakan tugasnya dengan penuh
ikhlas dan jujur. Khadijah amat tertarik dengan perwatakan mulia baginda dan
keupayaan baginda sebagai seorang pedagang. Lalu dia meluahkan rasa hatinya
untuk berkahwin dengan Muhammad yang berusia 25 tahun ketika itu. Wanita
bangsawan yang berusia 40 tahun itu sangat gembira apabila Muhammad menerima
lamarannya lalu berlangsunglah perkahwinan mereka berdua. Bermulalah lembaran
baru dalam hidup Muhammad dan Khadijah sebagai suami isteri.
Turunnya Wahyu Pertama
Pada usia 40 tahun, Muhammad telah menerima wahyu yang
pertama dan diangkat sebagai nabi sekelian alam. Ketika itu, baginda berada di
Gua Hira' dan sentiasa merenung dalam kesunyian, memikirkan nasib umat manusia
pada zaman itu. Maka datanglah Malaikat Jibril menyapa dan menyuruhnya membaca
ayat quran yang pertama diturunkan kepada Muhammad.
"Bacalah dengan nama Tuhanmu Yang menciptakan"
(Al-'Alaq, 96: 1)
Rasulullah pulang dengan penuh rasa gementar lalu diselimuti
oleh Khadijah yang cuba menenangkan baginda. Apabila semangat baginda mulai
pulih, diceritakan kepada Khadijah tentang kejadian yang telah berlaku.
Kemudian baginda mula berdakwah secara sembunyi-sembunyi
bermula dengan kaum kerabatnya untuk mengelakkan kecaman yang hebat daripada
penduduk Makkah yang menyembah berhala. Khadijah isterinya adalah wanita
pertama yang mempercayai kenabian baginda. Manakala Ali bin Abi Talib adalah
lelaki pertama yang beriman dengan ajaran baginda.Dakwah yang sedemikian
berlangsung selama tiga tahun di kalangan keluarganya sahaja.
Dakwah Secara Terang-terangan
Setelah turunnya wahyu memerintahkan baginda untuk berdakwah
secara terang-terangan, maka Rasulullah pun mula menyebarkan ajaran Islam
secara lebih meluas.
"Maka sampaikanlah olehmu secara terang-terangan segala
apa yang diperintahkan (kepadamu) dan berpalinglah dari orang-orang yang
musyrik." (Al-Hijr, 15:94)
Namun begitu, penduduk Quraisy menentang keras ajaran yang
dibawa oleh baginda. Mereka memusuhi baginda dan para pengikut baginda termasuk
Abu Lahab, bapa saudara baginda sendiri. Tidak pula bagi Abu Talib, dia selalu
melindungi anak saudaranya itu namun dia sangat risau akan keselamatan
Rasulullah memandangkan tentangan yang hebat dari kaum Quraisy itu. Lalu dia
bertanya tentang rancangan Rasulullah seterusnya. Lantas jawab Rasulullah yang
bermaksud:
"Wahai bapa saudaraku, andai matahari diletakkan
diletakkan di tangan kiriku dan bulan di tangan kananku, agar aku menghentikan
seruan ini, aku tidak akan menghentikannya sehingga agama Allah ini meluas ke
segala penjuru atau aku binasa kerananya"
Baginda menghadapi pelbagai tekanan, dugaan, penderitaan,
cemuhan dan ejekan daripada penduduk-penduduk Makkah yang jahil dan keras hati
untuk beriman dengan Allah. Bukan Rasulullah sahaja yang menerima tentangan
yang sedemikian, malah para sahabatnya juga turut merasai penderitaan tersebut
seperti Amar dan Bilal bin Rabah yang menerima siksaan yang berat.
Wafatnya Khadijah dan Abu Talib
Rasulullah amat sedih melihat tingkahlaku manusia ketika itu
terutama kaum Quraisy kerana baginda tahu akan akibat yang akan diterima oleh
mereka nanti. Kesedihan itu makin bertambah apabila isteri kesayangannya wafat
pada tahun sepuluh kenabiaannya. Isteri bagindalah yang tidak pernah jemu
membantu menyebarkan Islam dan mengorbankan jiwa serta hartanya untuk Islam.
Dia juga tidak jemu menghiburkan Rasulullah di saat baginda dirundung
kesedihan.
Pada tahun itu juga bapa saudara baginda Abu Talib yang
mengasuhnya sejak kecil juga meninggal dunia. Maka bertambahlah kesedihan yang
dirasai oleh Rasulullah kerana kehilangan orang-orang yang amat disayangi oleh
baginda.
Hijrah Ke Madinah
Tekanan orang-orang kafir terhadap perjuangan Rasulullah
semakin hebat selepas kepergian isteri dan bapa saudara baginda. Maka
Rasulullah mengambil keputusan untuk berhijrah ke Madinah berikutan ancaman
daripada kafir Quraisy untuk membunuh baginda.
Rasulullah disambut dengan meriahnya oleh para penduduk
Madinah. Mereka digelar kaum Muhajirin manakala penduduk-penduduk Madinah
dipanggil golongan Ansar. Seruan baginda diterima baik oleh kebanyakan para
penduduk Madinah dan sebuah negara Islam didirikan di bawah pimpinan Rasulullas
s.a.w sendiri.
Negara Islam Madinah
Negara Islam yang baru dibina di Madinah mendapat tentangan
daripada kaum Quraisy di Makkah dan gangguan dari penduduk Yahudi serta kaum
bukan Islam yang lain. Namun begitu, Nabi Muhammad s.a.w berjaya juga
menubuhkan sebuah negara Islam yang mengamalkan sepenuhnya pentadbiran dan
perundangan yang berlandaskan syariat Islam. Baginda dilantik sebagai ketua
agama, tentera dan negara. Semua rakyat mendapat hak yang saksama. Piagam
Madinah yang merupakan sebuah kanun atau perjanjian bertulis telah dibentuk.
Piagam ini mengandungi beberapa fasal yang melibatkan hubungan antara semua
rakyat termasuk kaum bukan Islam dan merangkumi aspek politik, sosial, agama,
ekonomi dan ketenteraan. Kandungan piagam adalah berdasarkan wahyu dan
dijadikan dasar undang-undang Madinah.
Islam adalah agama yang mementingkan kedamaian. Namun
begitu, aspek pertahanan amat penting bagi melindungi agama, masyarakat dan
negara. Rasulullah telah menyertai 27 kali ekspedisi tentera untuk mempertahan
dan menegakkan keadilan Islam. Peperangan yang ditempuhi baginda ialah Perang
Badar (623 M/2 H), Perang Uhud (624 M/3 H), Perang Khandak (626 M/5 H) dan
Perang Tabuk (630 M/9 H). Namun tidak semua peperangan diakhiri dengan
kemenangan.
Pada tahun 625 M/ 4 Hijrah, Perjanjian Hudaibiyah telah
dimeterai antara penduduk Islam Madinah dan kaum Musyrikin Makkah. Maka dengan
itu, negara Islam Madinah telah diiktiraf. Nabi Muhammad s.a.w. juga telah
berjaya membuka semula kota Makkah pada 630 M/9 H bersama dengan 10 000 orang
para pengikutnya.
Perang terakhir yang disertai oleh Rasulullah ialah Perang
Tabuk dan baginda dan pengikutnya berjaya mendapat kemenangan. Pada tahun
berikutnya, baginda telah menunaikan haji bersama-sama dengan 100 000 orang
pengikutnya. Baginda juga telah menyampaikan amanat baginda yang terakhir pada
tahun itu juga. Sabda baginda yang bermaksud:
"Wahai sekalian manusia, ketahuilah bahawa Tuhan kamu
Maha Esa dan kamu semua adalah daripada satu keturunan iaitu keturunan Nabi Adam
a.s. Semulia-mulia manusia di antara kamu di sisi Allah s.w.t. ialah orang yang
paling bertakwa. Aku telah tinggalkan kepada kamu dua perkara dan kamu tidak
akan sesat selama-lamanya selagi kamu berpegang teguh dengan dua perkara itu,
iaitu kitab al-Quran dan Sunnah Rasulullah."
Wafatnya Nabi Muhammad s.a.w
Baginda telah wafat pada bulan Jun tahun 632 M/12 Rabiul
Awal tahun 11 Hijrah. Baginda wafat setelah selesai melaksanakan tugasnya
sebagai rasul dan pemimpin negara. Baginda berjaya membawa manusia ke jalan
yang benar dan menjadi seorang pemimpin yang bertanggungjawab, berilmu dan
berkebolehan. Rasulullah adalah contoh terbaik bagi semua manusia sepanjang
zaman.
Sumber : Kisah Nabi
0 Response to "KISAH MANUSIA YANG PALING MULIA DI MUKA BUMI"
Post a Comment